Kali pertama saya tinggal di sebuah hotel 5 bintang, saya benar-benar kagum dengan semua butiran dan ciri reka bentuk yang menarik. Saya mendapati ia aneh tetapi pada masa yang sama mengkagumkan bagaimana dalam satu ruangan, boleh diletakkan rekaan yang minimal dan ringkas sedemikian rupa tetapi berupaya mewujudkan mood suasana yang santai, selesa dan tenang.

Di kediaman saya sendiri, saya tidak berusaha membawa tema hotel dalam persekitaran saya – tetapi saya sedar bahawa ia tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan untuk menjadikan kawasan rumah saya menjadi kediaman adaptasi hotel.

Oleh itu, disini saya menulis bagaimana membawa suasana hotel 5 bintang ke kediaman anda dan menjadikannya tempat yang santai dan mewah. Anda tidak perlu lakukannya secara sekaligus (mengikut kemampuan bajet anda) tetapi lakukannya secara berperingkat mengikut keutamaan ruang. Tepuk dada tanya poket anda.

Bilik tidur…

Di kebanyakan bilik hotel, tempat tidur adalah pusat perhatian, jadi di sinilah biasanya saya akan mula. Walaupun bajet tidak memungkinkan anda untuk membeli katil king yang baru – terdapat sedikit sentuhan yang boleh anda tambahkan ke tempat tidur anda yang akan membuatnya merasa seperti baru.

Yang pertama, tentu saja, adalah bedsheet baru. Bedsheet adalah item tambahan yang anda dapati dengan serta-merta dan saya dapati sejak menaik taraf bedsheet saya sendiri, saya tidur sejuta kali lebih baik.

Secara peribadi untuk pilihan warna, saya akan berpegang kepada warna yang light dan neutral. Ia agak luar biasa untuk mencari bilik hotel dengan tempat tidur berwarna atau bercorak. Jadi pastikan kelihatan ringkas dengan tona warna yang cerah.

Perkara seterusnya di dalam bilik tidur adalah kusyen dan bantal. Kebanyakan hotel mewah menggunakan feather pillow, jadi jika anda ingin mencontohi pengalaman suite hotel, ini yang patut anda pilih. Pokok pangkalnya pemilihan bantal adalah mengikut keselesaan anda. Ada yang menyukai bantal yang keras dan ada juga yang suka bantal yang lembut. Bagi saya bantal dari memori foam sudah cukup untuk buatkan saya tidur dengan nyenyak.

Akhir sekali adalah kepala katil(headboard). Sama ada jenis quilted atau padded adalah pilihan klasik untuk rekaan yang gorgeous dan mewah.

Di ruang tamu…

Untuk ruang tamu, saya fikir penting untuk memikirkan ‘gaya’ yang anda impikan. Bayangkan ruang tamu anda adalah lounge suite hotel 5 bintang dan cuba untuk melihatnya dari perspektif seorang pereka. Sebagai contoh, sebarang elemen semak dan berserabut perlu dikurangkan atau disembunyikan.(e.g kabel kabel wayar yang berselirat)

Cuba dan bereksprimen dengan aksesori dalam warna yang hampir sama, contohnya, warna ivory yang berbeza untuk bantal atau bahan dan tekstur yang berbeza – tetapi guna palet warna yang berulang.

Satu lagi sentuhan kecil, yang saya rasa menambah suasana hotel 5 bintang adalah bunga dan buah segar. Beberapa buah pasu bunga yang indah, dan semangkuk buah segar di atas meja, adalah idea yang indah dan menambah aroma dan warna yang diperlukan.

Di dalam bilik air…

Sekarang, perkara utama yang saya sukai tentang bilik mandi hotel ialah persekitaran seperti spa dan aroma bau yang menyegarkan. Melabur sedikit untuk aroma yang indah (penyegar udara, atau oil wick) akan membuatkan bilik air anda kekal harum.

Kemudian sudah tentu terdapat tuala dan hiasan. Cuba dan pilih satu warna dan kekal dengan pilihan tersebut. Contoh jika anda memilih warna putih – padankan dengan tuala putih, kain muka putih, bingkai aksesori berwarna putih dan lilin yang berwarna putih. Semua unsur aksesori yang kecil dan seragam akan membuatkan bilik air anda cantik dan istimewa.

Diharapkan panduan ini berguna bagi anda dalam mewujudkan suasana hotel 5 bintang di kediaman anda. Sampai jumpa lagi di post yang berikutnya.