Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. Menurut pandangan sebahagian ulama’ seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”.(Riwayat Muslim)

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW, serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul adalah dengan berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:

“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.(Riwayat Muslim)

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari ini, sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW.

Berselawat juga antara amalan yang sangat digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Nabi adalah amalan baik lagi mulia. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah S.W.T berselawat ke atasnya 10 kali”(Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Ini antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.